Wednesday, June 10, 2009

Keluar Surat Kabar Berita Harian Jumaat 5/6/09




Galeri: Ilham III memukau
Oleh Hasnidarwina Hasimmailto:Hasimbhsastera@nstp.com.my


Sambutan peminat seni tampak membuktikan pameran terbabit istimewa KEHADIRAN ramai peminat seni tanah air pada Pameran Seni Arca: Ilham III di Galeri Pelita Hati, Bangsar, Kuala Lumpur, membuktikan ada sesuatu istimewa pada 50 karya nukilan 23 pengarca tempatan yang menjayakan program terbabit. Antara karya yang mendapat perhatian pengunjung, Siri Kaki garapan Pensyarah Fakulti Seni & Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Zainuddin Abidinhazir yang menzahirkan keperitan dan kepayahan kaki apabila terjebak dan teraniaya dalam perkara tidak diingini.

"Kaki tidak melakukan kesalahan, tetapi sebenarnya teraniaya malah terjebak dengan perkara tidak diingini. Justeru kaki tidak patut dihukum atas kesalahan terbabit sehingga lahir peribahasa kaki judi, kaki bodek, kaki botol, kaki perempuan dan kaki ekor yang bagaikan menghina kejadian bahagian bawah tubuh manusia," katanya pada wawancara dengan Galeri, selepas pelancaran pameran terbabit, bau-baru ini. Pensyarah Seni Halus, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Razif Rathi yang tampil dengan Mask dan Sphere serta Inside a Sphere, baru pertama kali 'bermain' dengan arca, sengaja memilih teknik sculpture painting menyertai Galeri Pelita Hati sejak 2005. "Saya mengambil masa hampir setahun untuk bereksperimen sebelum berjaya mendapatkan formula bagi menghasilkan arca untuk pameran kali ini. Mask mengambil masa seminggu untuk disiapkan mengisahkan figura potret dengan penekanan kepada keseimbangan bentuk muka manusia ciptaan Maha Pencipta," jelasnya.
Norazlan Ahmad yang tampil dengan karya menarik dengan sentuhan bersahaja, Khlangkio – Pencarian 2, menerangkan Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang yang menceritakan kewujudan kota yang didirikan daripada batu yang ada di hutan di Sungai Melayu, Melaka. "Saya tidak dapat pastikan sama ada cerita itu benar mahupun tidak, tetapi ada sesetengah pihak yang mengaku kononnya pernah terjumpa kota terbabit di Batu Hitam pada awal 1930-an. Saya hanya mengambil ilham daripada kisah terbabit," jelasnya yang juga baru pertama kali mencuba seni arca. Beliau hanya menggunakan tanah liat dan habuk kayu sebagai ramuan bagi menghasilkan semua arcanya yang dipamerkan pada pameran terbabit, enggan mendedahkan teknik mengukir arcanya untuk dikongsi dengan peminat seni kerana menganggap ia sebagai rahsia peribadi.


Senjata Hikmat II karya Mohd Faizal Ramli adalah inspirasi daripada falsafah seni ukiran kayu dan pertukangan Melayu, manakala alam sebagai sumber ilham diadunnya dengan teliti bagi memastikan arcanya bersendikan aturan agama, adat resam dan budaya Melayu.
"Saya juga sengaja meneroka pembuatan jendela dengan menggunakan sistem tanggam bagi memberi kekuatan ikatan kepada arca dengan tumpuan pada panel dinding kembung berusia 140 tahun kerana mahu memastikan ia ada citra alam semula jadi," jelasnya. Pelukis dan pengarca lain yang turut menjayakan pameran kali ini ialah Ahmad Fauzi Amir, Ahmad Noor Rashidi, Azman Ismail, Aznan Omar, Cindy Koh, Mohd Afifee Ibrahim, Mohd Daud Abdul Rahim, Mohd Faizal Ramli, Mohd Razif Rathi, Mohd Roslan, Mohd Shaharuddin Supar, Nor Diana Ibrahim, Norazlan Ahmad, Peter Lagan, Ramlan Abdullah, Romli Mahmud, Rosli Zakaria, Stephen Menon, Suhaidi Razi, Tan Bee Him, Zainon Abdullah, Zakaria Sharif dan Zainuddin Abidinhazir.


INFO Pameran Seni Arca: Ilham III

Lokasi : Galeri Pelita Hati, No 22, Jalan Abdullah off Jalan Bangsar, Kuala Lumpur

Tarikh : 28 Mei hingga 20 Jun 2009

Jumlah : 50 karya

Harga : RM 300 hingga RM 28,000 sebuah

Telefon : 03-22848380

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails